Monday, June 22, 2009
Sunday, June 21, 2009
Saturday, June 20, 2009
Sepekan Di Guangzhou, China
Sekitar setahun yang lalu saya bersama-sama 19 orang rakan daripada PENAJA dan usahawan berkesempatan berada di Guangzhou, China selama seminggu (5 hingga 10 Julai) untuk melihat dari dekat arus pembangunan pantas di sana di samping menghayati budaya masyarakat setempat. Sesungguhnya banyak yang saya perolehi dan pelajari sama ada melihat negeri orang mahu pun melihat kekuatan kendiri rakan-rakan dan diri sendiri. Kami menginap di Rosedale Hotel & Suites yang terletak di Jiang Nan Da Road Central.
Kami sempat melawat Acara '10th International Building & Decoration Fair' di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Guangzhou yang begitu gah dan besar. Ribuan umat manusia yang mengunjungi acara ini semasa kami berkunjung ke sana. Saya turut bertemu seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, Yang Berhormat Datuk Haji Maulizan Bujang yang juga berkunjung ke acara ini.
Kami juga sempat melawat ke pasar yang menjual pelbagai jenis makanan laut yang masih segar dikenali dengan 'Qingping Market'. Sahabat saya Tuan Haji Mohamad Dolmat, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan, insan yang dikurniakan pelbagai kekuatan, sebagai pemimpin, sebagai sahabat, sebagai saudara juga punya kemahiran memasak sempat membeli ketam bangkang. Malam itu saya di antara beberapa orang menjadi tetamu di bilik Tuan Haji Mohamad untuk bersama-sama menikmati masakan ketam bangkang Guangzhounya.
Selama ini saya tak pernah tahu yang Tuan Haji Mohamad Dolmat ini pandai memasak, bukan sahaja masakan ketam bangkang, di Guangzhou juga saya amat berselera makan nasi lemak masakan beliau. Terima kasih Tuan Haji Mohamad.
Cerita pasal makan, saya dan rakan-rakan juga membawa makanan segera seperti mee maggi dan mee Pama. Kami juga sempat menjamu selera di beberapa restoran makanan halal, di salah sebuah restoran terpapar gambar YAB Dato' Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan dan juga gambar Datuk Azmi Khalid.
Dua hari terakhir di Guangzhou, kami berkunjung ke Yuntai Garden melihat panorama yang menarik dengan kehijauan dan diserikan dengan sebuah tasik yang dihuni pelbagai jenis ikan. Selepas itu barulah kami pergi shopping di Silk Store, gambang mata melihat pelbagai jenis Sutera Cina untuk dijadikan ole-ole buat insan-insan tersayang. Tak cukup berbelanja di Silk Store kami ke Beijing Road, Shangxiajiu Shoping Street, Zhujiang New Town dan ke Tea Mall untuk pekena teh Cina.
Apa yang menariknya di Guangzhou masyarakatnya seperti masyarakat kita berbudi bahasa, bersopan dengan pelancong. Cumanya adalah lebih mudah ke Guangzhou kalau kita mampu berbahasa Mandrin sebab majoriti masyarakatnya memartabatkan bahasa ibundanya apabila berinteraksi dengan kita.
Kepada 19 sahabat-sahabatku terutamanya Tuan Haji Mohamad Dolmat, Tuan Haji Hanafiah, Saudara Wan Ahmad, Tok Wahid, Saudara Ismail, Pak Aziz, Pak Wan Sulaiman, Pak Ali, Saudara Alias, Saudara Sukiat yang sempat masuk hospital kerana sakit perut, Saudara Fatah dan kembarnya Saudara Izzham, anda semua tetap dalam ingatan bila bercerita pasal Guangzhou. Semoga selepas ini kita berpeluang pula ke Tanah Suci bersama-sama, INSYAALLAH!
Kepada Saudara Darrek dan Saudara Ang terima kasih dapat bersama-sama kami sekaligus menjadi juru bahasa sepanjang sepekan di Guangzhou.
Subscribe to:
Posts (Atom)