Detik Paling Indah

Detik Paling Indah
Detik paling indah bagi ku ketika seusia si comel ini, sentiasa disayangi, dibelai, dibimbing dan dibesarkan oleh ABAH dan MAK yang tidak pernah pudar kasih sayang dan rindu ku ini hingga saat ini.

Detik paling indah bagi ku ketika membesarkan anak-anak ku Along, Angah, Ann dan Adeq dengan penuh kasih sayang yang setulusnya bersama isteri tersayang. Saat-saat anak-anak ku seusia ini adalah lingkaran masa yang paling mahal dan amat bernilai bagi ku yang bergelar ABAH.

Thursday, July 30, 2009

Talian Kasih Yang Paling Murni


Satu-satunya Abang Ku




Kau satu-satunya abang ku di maya ini, kau adalah pengganti abah mak yang telah lama meninggalkan kita. Kau adalah penasihat ku, kau tempat aku menyatakan perasaan hati ku sama ada cerita gembira mahu pun kabar yang mencuit rasa.


Ngah, izinkan aku untuk terus menyuburkan kasih sayang yang dikaryakan abah dan mak ini berterusan hingga ke akhir hayat. Izinkan aku untuk menumpang kasih sayang anak-anak mu. Izinkan aku untuk menumpang kegembiraan pada setiap kejayaan yang digapai oleh mu suami isteri dan setiap kecemerlangan yang dicipta anak-anak mu.


Aku amat bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuata'ala, walaupun aku punya seorang abang dan seorang kakak namun kami mampu untuk melestarikan pertalian kasih ini hingga saat ini.


Apapun realitinya keluarga kita semakin membesar Ngah dan Akak telah punya menantu dan cucu, begitu juga aku bakal menjadi bapak mertua dan bakal menjadi atuk. Insyaallah.


Dalam nada yang paling syahdu aku memohon doa kepadaNya semoga anak-anak kita, cucu-cucu kita dan keturunan kita masih mampu mewarisi nilai-nilai kasih sayang dalam kesibukan waktu mengejar kekayaan di dunia ini.

Wednesday, July 22, 2009

Suatu Amanah ALLAH


Buat isteri dan anak-anak tersayang

13 Januari saban tahun
sentiasa menggamit memori ku

terima kasih isteri ku
kesetiaan mu
 keikhlasan mu
pengorbanan mu
kesabaran mu
kasih sayang mu
adalah
hadiah paling mahal buat ku

terima kasih anak-anak ku
kerana
menyayangi ku
menghormati ku
mengingati ku
menjaga hati ku

Sesungguhnya 
aku amat takut dibelit kesunyian
aku amat takut lemas dalam kerinduan
untuk menggapai erti kasih sayang
sentuhan belaian 
kemesraan seorang anak remaja

Sesungguhnya aku amat menyayangi kalian


Saturday, July 11, 2009

Kursus Protokol dan Etiket Sosial

Bersama Pengarah Pusat Latihan
dan Pembangunan Pengembangan Wilayah Selatan
serta Para Peserta Kursus Protokol dan Etiket Sosial

Baru-baru ini saya bersama sahabat saya Saudara Haji Hashim Haji Bedu diberi kepercayaan Jabatan Pertanian Malaysia melalui Pusat Latihan dan Pembangunan Wilayah Selatan, Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor untuk mengendalikan Kursus Protokol dan Etiket Sosial.

Seramai 21 orang pegawai Kumpulan Sokongan dan Pengurusan Profesional warga Jabatan Pertanian Malaysia daripada seluruh negara menyertai kursus selama tiga hari ini.

Modul kursus meliputi ceramah mengenai amalan protokol, etiket sosial dan pengurusan majlis, latihan bakat kreatif, persembahan kumpulan serta diakhiri dengan sesi ulasan dan penilaian fasilitator.

Sekalung penghargaan kami hulurkan kepada Jabatan Pertanian Malaysia atas kepercayaan ini, terima kasih kami ucapkan kepada Pengarah Pusat Latihan dan Pembangunan Wilayah Selatan, Tuan Haji Md. Saat Kasan, orang kuatnya Saudara Abu Bakar Ishak dan Saudari Jarilah Atan.

Kepada sahabat-sahabat baru saya, 21 orang peserta kursus terutama Saudara Haji Hanif, Saudara Haji Zahid, Puan Hajah Normah, Saudara Husin Md. Lana, Saudara Kamaruzaman, orang muda Saudara Mohd. Fariz, Saudari Hazlin dan Saudari Yani (sekadar menyebut beberapa nama), terima kasih atas komitmen yang begitu tinggi di sepanjang kursus ini.

Kepada Hajah Normah, Mohd. Faris dan Hazlin yang berikan produk cendawan, buah durian, manggis dan rambutan tetap menjadi ingatan.

Harapan saya semoga anda semua dapat menterjemahkan segala pengetahuan yang perolehi melalui kehidupan seharian dan melalui organisasi anda secara berterusan.

Seronok bersama anda semua walau hanya seketika.